Tidak patuhi SOP, Neelofa dan PU Riz dikompaun RM 30,000

USAHAWAN dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tindakan mengenakan kompaun itu tidak dibenarkan diskaun terhadap Neelofa kerana melakukan dua kesalahan iaitu tidak mematuhi SOP di majlis pernikahan dan melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama.

Manakala suaminya Haris atau dikenali PU Riz hanya dikenakan kompaun kerana melanggar kebenaran merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, menjelaskan kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial. Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung juga gagal dipatuhi.

Dalam pada itu, kesemua 20 ahli keluarga Neelofa juga dikenakan kompaun RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000.00 kerana melangggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan pada 27 Mac lalu.

Kesemua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada hari ini, jelas Mohamad Zainal. Sehubungan itu, PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi pelaksanaan PKPB.

“Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.