Tak mahu rakyat ikut budaya barat, Kim Jong Un haramkan rakyat bergaya dengan ‘mullet’ dan ‘skinny jeans’

MEMANG terkenal sebagai negara yang tiada kebebasan sosial, kini rakyat Korea Utara tidak dibenar menggayakan rambut ‘mullet’ dan memakai seluar jean ketat atau ‘skinny’.

Larangan itu diumum oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebagai usaha mempertahankan pemerintahan rejimnya.

Arahan itu dikeluarkan apabila beliau khuatir golongan muda di negara itu akan terpengaruh dengan budaya barat yang disifatkan sebagai kemungkinan kuat bagi generasi akan datang menentang pemerintahannya.

Sehubungan itu, Jong Un juga memerintahkan pegawai bertugas untuk mengenakan tindakan tegas kepada sesiapa yang menggayakan rambut berwarna, menindik hidung atau bibir, dan berseluar jeans koyak yang popular pada saat ini.

Katanya, “Kita harus berhati-hati bahkan untuk perkara kecil sekali pun kerana ia melibatkan gaya hidup kapitalistik, dan kita perlu berjuang untuk menghentikan penampilan itu”.

“Sejarah mengajar kita satu pengajaran penting bahawa sesuatu negara akan menjadi rentan dan seterusnya runtuh seperti tembok yang tidak kukuh jika kita tidak berpegang pada gaya kita sendiri,” tegas Kim Jong Un.

Korea Utara telah melarang pembawaan budaya asing untuk menjaga daya tarik “dekaden”nya di masa lalu, malah pejabat pemerintah turut melarang muzik pop, terutamanya K-pop.

Terdahulu, pada tahun 2018, Jong Un berjanji untuk menghancurkan budaya kapitalis. Malah, Jong Un telah melarang penggunaan ubat-ubatan dan barangan perubatan dari China untuk digunakan di hospital di Pyongyang.

Larangan tersebut dibuat apabila seorang kakitangan pejabatnya dilapor meninggal dunia selepas diberi ubat-ubatan buatan China ketika menerima rawatan sakit lelah.