Roti biji kaskas penyebab seorang lelaki positif dadah dan gagal temuduga

BAGI mereka yang ingin menghadiri temuduga kerja, makan sebelum bersedia untuk temuduga adalah sesuatu yang sangat digalakkan tetapi dalam masa yang sama kita perlu berjaga-jaga.

Seorang lelaki di England dilaporkan gagal dalam saringan dadah yang dilakukan semasa menghadiri temuduga kerja baru-baru ini.

Menurut laporan Plymouth Live, lelaki yang tidak ingin dikenali itu menafikan dirinya mengambil sebarang dadah atau ubat sebelum hadiri temuduga tersebut.

Namun, ujian saringan dadah menunjukkan dia positif dadah jenis opium.

Menurut adik lelaki berkenaan, abangnya hanya memakan beberapa keping roti yang diletakkan biji kaskas dan ini dilaporkan telah memberi keputusan palsu pada ujian saringan dadah.

Dalam laporan MedicalNewsToday, biji kaskas itu sendiri tidak mengandungi dadah opium namun ia boleh terserap ke dalam biji berkenaan semasa ia diproses.

Dilaporkan ini bukan kali pertama insiden seperti itu berlaku. Terdahulu, pada tahun 2018, seorang doktor membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang baru sahaja bersalin selepas sampel darah yang diambil menunjukkan keputusan positif dadah.

Siasatan yang dijalankan mendapati wanita berkenaan telah makan roti yang diletakkan biji kaskas sebelum bersalin.