Sentuh isu agama, lelaki dipukul kumpulan penghantar makanan

AKIBAT menyentuh sentimen agama, seorang lelaki mengalami kecederaan setelah dipukul sekumpulan penghantar makanan hari ini.

Kejadian pada jam 2.30 tengah hari itu terjadi apabila seorang penghantar makanan berusia 19 tahun telah tangkap layar menerusi pesanan yang diterima sebelum menularkan ia kepada kumpulan penghantar makanan tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid berkata, keadaan itu menyebabkan kemarahan tercetus dalam kalangan penghantar makanan.

“Mereka telah pergi ke rumah pelanggan tersebut di Sungai Way, Petaling Jaya”.

“Pelanggan berusia 29 tahun telah dipukul sekumpulan penghantar makanan sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fakhruddin, polis bagaimanapun telah menahan lima individu lelaki yang merupakan dalam kalangan penghantar makanan untuk siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan berusia sekitar 19 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dengan insiden berkenaan.

Setakat ini, polis masih giat mengesan beberapa lagi suspek lain yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan yang melukakan perasaan agama seseorang.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan.