Bekas anggota BTOB, Ilhoon terima hukuman penjara selepas guna dadah sebanyak 161 kali

PIHAK mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda sebanyak 133 juta won (RM491,182) terhadap bekas anggota kumpulan K-Pop, Ilhoon BTOB di atas kesalahan membeli dan menggunakan dadah jenis ganja sebanyak 161 kali.

Pada 10 Jun, hakim kanan Mahkamah Daerah Seoul, Yang Cheol-han menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi rap berusia 26 tahun, dengan nama sebenar adalah Jung Il-hoon.

Menurut laporan, pihak mahkamah juga menganggap Ilhoon perlu ditangkap kerana dikhabarkan dia akan melarikan diri.

Sebelum ini, pihak pendakwa telah meminta hukuman penjara empat tahun di atas kesalahannya yang dibacakan pada tahun lalu. Ilhoon juga telah meninggalkan kumpulan BTOB secara rasmi pada bulan Disember.

Dia dan tujuh defendan lain didapati membeli ganja seberat 826 gram dengan nilai 130 juta won (RM491,104) dan menggunakan ganja 161 kali antara 5 Julai 2016, dan 9 Jan 2019.

Menurut portal hiburan Soompi, tujuh defendan lain menerima hukuman penjara antara satu setengah hingga dua tahun, atau hukuman yang ditangguhkan.

Peguam Ilhoon memohon kelonggaran selama tempoh bicara dan menjelaskan bahawa dia menghadapi keadaan yang sukar semasa menjadi K-Pop idol.

“Dia bekerja di industri hiburan pada usia muda dan dia berusaha menghilangkan tekanan dengan cara yang salah”, katanya.