Rakyat Thailand boleh tanam ganja bermula Jun, kerajaan berikan sejuta pokok ganja secara percuma

Cbd photo created by jcomp - www.freepik.com

KERAJAAN Thailand bakal mengedar lebih sejuta pokok ganja secara percuma kepada rakyatnya di seluruh negara Jun ini.

Ia sebagai sinbolik menandakan pelaksanaan undang-undang baharu yang membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah, lapor Kosmo.

Memetik laman berita Wion News, Menteri Kesihatannya, Anutin Charnvirakul menerusi pengumuman pada laman Facebook miliknya berkata, beliau berhasrat untuk menjadikan pokok ganja sebagai tumbuhan yang ditanam di rumah.

Di bawah undang-undang baharu itu yang akan berkuat kuasa pada 9 Jun, penduduk Thailand boleh menanam pokok ganja di rumah.

Namun hanya selepas mendapat kebenaran dari kerajaan tempatan.

Tumbuhan itu pula mesti terdiri daripada gred perubatan dan perlulah digunakan untuk tujuan tersebut.

Selain itu, undang-udang tersebut turut melarang penduduk daripada menanam pokok ganja untuk tujuan komersial tanpa memperoleh lesen yang sah.

Individu yang didapati menanam tumbuhan itu tanpa kebenaran kerajaan akan didenda sehingga 20,000 baht (RM2,526) dan menetapkan denda sehingga 300,000 baht (RM37,900) atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya jika menjualnya tanpa kebenaran.

Dalam satu hantaran lain di Facebook pada 10 April, Anutin berkata, syarikat-syarikat negara itu yang telah berdaftar boleh menjual ganja yang mengandungi kurang daripada  0.2 tetrahydrocannabinol atau THC, bahagian dalam tumbuhan itu yang menyebabkan seseorang berasa khayal.

“Langkah ini membolehkan kerajaan dan rakyat menjana perolehan lebih 10 bilion baht (RM1.26 bilion) setahun daripada marijuana dan rami,” jelasnya. 

Sumber: Kosmo