Ibu bangga tayang anak 10 tahun pandu Kancil di TikTok serah diri bersama suami

SEPASANG suami isteri menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini selepas menyedari video anak lelakinya berusia 10 tahun memandu kereta tular dan disiasat polis.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pasangan suami isteri itu bersama tiga anaknya tampil ke IPD Pontian, 10 pagi hari ini, untuk membantu siasatan, lapor Harian Metro.

Katanya, siasatan dijalankan berdasarkan video tular di Facebook kelmarin yang memaparkan kanak-kanak lelaki memandu kereta Perodua Kancil dengan dua kanak-kanak lain duduk di bahagian hadapan kenderaan itu.

“Kejadian itu berlaku 7 pagi Selasa lalu di pekan Nanas di sini, ketika mereka bersiap ke sekolah.

“Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui akaun TikTok yang memaparkan video itu adalah akaun miliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu kenderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Selain itu, pemilik kenderaan berkenaan boleh disaman mengikut Seksyen 39 (5) APJ 1987, ” katanya.

Sumber: Harian Metro