Vida mengaku dipanggil SKMM gara-gara MV lagu raya didakwa promosi LGBT

Vida mengaku dipanggil SKMM gara-gara MV lagu raya didakwa promosi LGBT

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Vida dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam bagi membantu siasatan video muzik (MV) raya yang mencetuskan kontroversi pada Jumaat.

Vida dalam satu hantaran di media sosial berkata, dia menuruti segala arahan SKMM selepas terdapat pihak yang melaporkan mengenai MV terbabit kepada pihak berkuasa, lapor Harian Metro

“Saya tak tahulah nak cakap macam mana sebenarnya. Untuk MV lagu Muah Muah Raya itu, saya sebenarnya tak adalah promosi sangat selepas Datuk Aliff Syukri dipanggil SKMM sebelum ini.

“Tapi, untuk pengetahuan, saya dah buat benda ini sebelum Aliff Syukri lagi tapi tetap kena panggil, maka saya kena pergilah untuk diambil keterangan berhubung lagu Muah Muah Raya.

“Saya ini pun sedang dalam keadaan tak sihat. Sakit kepala tapi saya turuti arahan SKMM itu. Saya cuma fikir, apa yang saya buat itu sebagai hiburan saja, tiada apa-apa,” katanya dalam satu hantaran video yang dikongsi di Instagram miliknya pada Khamis.

Vida dihimpit kontroversi apabila dia tampil dengan MV raya yang dianggap tidak sesuai dengan sambutan Aidilfitri.

MV terbabit memaparkan kumpulan penari ‘drag queen’ sekali gus menyebabkan Vida terpalit dengan isu cuba mempromosi elemen LGBT.

Malah netizen yang tidak berpuas hati mendakwa Vida cuba mencemarkan kesucian agama Islam menerusi penghasilan MV terbabit. 

Terdahulu, usahawan kontroversi Aliff Syukri turut dipanggil SKMM ramadan lalu untuk memberi keterangan selepas lagu dan MV raya berjudul Kelepok Raya menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. 

Sumber: Harian Metro