Home Berita Luar Negara Penyakit Bawa Maut ‘Rusa Zombi’ Merebak di Amerika Syarikat

Penyakit Bawa Maut ‘Rusa Zombi’ Merebak di Amerika Syarikat

 

Penyakit ‘rusa zombi’ dilaporkan merebak di Amerika Syarikat selepas ianya dikesan buat pertama kali di Taman Negara Yellowstone.

Penyakit yang membawa maut, Penyakit Buangan Kronik (CWD) boleh menyebabkan perubahan kepada otak haiwan sehingga mangsa menjadi tidak bermaya dan air liur sentiasa meleleh.

Semua jenis rusa antara haiwan yang mudah dijangkiti CWD. Bagaimanapun setakat ini belum ada rawatan khas mahupun vaksin bagi menyembuhkan penyakit ini.

Salah satu gejala yang dapat dilihat adalah mangsa ‘merenung jauh’ hingga membawa kepada kematian.

Memetik laporan The Guardian, penyelidik CWD Doktor Cory Anderson sedang berhadapan dengan penyakit membawa maut dan saintis juga memberi amaran tentang segala kemungkinan sekiranya ia merebak kepada manusia.

“Wabak lembu gila di Britain telah memberikan contoh bagaimana dalam sekelip mata ia boleh membawa masalah kepada negara apabila haiwan ternakan semakin berkurangan.
“Kami bercakap mengenai potensi yang sama bakal berlaku. Tiada siapa mengatakan bahawa ia pasti berlaku dan apa yang penting kita perlu bersedia,” katanya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), CWD telah ditemui di 31 negeri di seluruh Amerika Syarikat serta Kanada, Norway, Finland, Sweden dan Korea Selatan.

Sumber : Awani