Johor dilanda bah, lebih 1500 penduduk dipindahkan ke PPS

HUJAN lebat yang berterusan sejak 24 jam yang lalu menyebabkan seramai 1591 penduduk negeri Johor yang terdiri daripada 560 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di daerah yang terjejas akibat banjir.

Memetik laporan Harian Metro, kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir menyebabkan 21 PPS dibuka sejak 1 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat menjadi daerah yang paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.

“Johor Bahru pula menjadi daerah kedua yang paling terjejas dengan 560 mangsa dipindahkan di enam PPS, diikuti Kluang yang mempunyai 188 mangsa daripada 162 keluarga di enam PPS. Manakala seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi,” jelas Dr Azmi kepada Harian Metro.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas 10 daerah di negeri Johor,” tambahnya.

Azmi juga menjelaskan 10 sungai utama yang terletak di Segamat, Kulai, Johor Bahru, Kluang dan Pontian kini berada pada paras bahaya setakat pagi tadi.

Selain itu, dua jalan utama iaitu Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang dan Jalan Bekok (J150) di Segamat turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir hampir satu meter.

Sumber gambar – Facebook APM | Sumber laporan – Harian Metro