Lelaki ditemui hidup selepas 11 jam tumpang kapal terbang secara haram, hanya berpaut pada roda kapal terbang!

https://www.freepik.com/free-photo/aerial-photography-houses-during-daytime_9641184.htm#query=airplane%20tire&position=0&from_view=search

SEORANG lelaki disifatkan bernasib baik kerana masih hidup biarpun telah menempuh perjalanan selama 11 jam di udara dengan hanya berpaut pada sistem roda sebuah pesawat kargo.

Dia yang menaiki penerbangan dari Afrika Selatan ke Belanda secara haram itu ditemui ketika pemeriksaan dilakukan di Lapangan Terbang Schiphol, Belanda.

Penerbangan dari bandar raya Johannesburg ke Amsterdam, Belanda tersebut dipercayai membuat hentian di ibu kota Kenya, Nairobi.

Kejadian itu sangat luar biasa kerana adalah hampir mustahil bagi penumpang haram seperti itu  selamat sekiranya bersembunyi di dalam komponen  roda pesawat semasa penerbangan jarak jauh. Ini  disebabkan kandungan oksigen yang terhad serta sejuk pada altitud tinggi.

“Lelaki itu ditemui masih hidup di bahagian kompartmen roda pesawat dan dibawa ke hospital. Dia kini  dalam keadaan stabil,” kata jurucakap Polis Tentera Diraja Belanda, Joanna Helmonds.

“Agak luar biasa bahawa lelaki itu masih hidup,” tambahnya.

Menurut stesen penyiaran Belanda, NOS, petugas kecemasan berjaya mengembalikan suhu badan lelaki itu kepada bacaan normal ketika ditemui dan apabila ambulans tiba, dia dapat menjawab soalan-soalan  asas. 

Sumber: Kosmo