Kim Jong Un label K-Pop sebagai “kanser ganas”

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un baru-baru ini melabelkan K-Pop sebagai “kanser ganas” dan menggambarkan ia sebagai sebuah ancaman bagi negaranya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kim Jong Un dalam kempen Anti-KPop terhadap genre muzik yang berasal dari Korea Selatan itu.

“K-Pop telah merosak dan mencemar pakaian, gaya rambut, perkataan dan perilaku anak muda Korea Utara dan jika hal itu dibiarkan secara berterusan. Korea Utara mungkin akan runtuh seperti tembok lembik”, katanya.

Selama bertahun, penyebaran budaya hallyu dari Korea Selatan seperti drama, filem dan K-Pop memang sudah dibawa masuk tanpa izin ke Korea Utara sehingga remaja di negara itu dapat menikmatinya secara diam-diam dan sembunyi.

Namun populariti hallyu berkembang dan semakin meraih pengaruh besar bukan sahaja dari Korea Utara, malah secara global.

Menurut laporan Insider, Korea Utara sebelum ini telah menyekat pelbagai sumber luar utamanya K-Pop bagi memasuki negara tersebut namun dengan perkembangan teknologi, semakin ramai anak muda yang bijak dalam mengakses cara untuk menonton K-Pop.

Terdahulu, Kim Jong Un telah melarang rakyatnya mengenakan skinny jeans dan bergaya rambut mullet sebagai salah satu inisiatif dalam mengawal peraturan untuk kaum muda di negaranya.

Dalam pada itu, beliau juga dilaporkan khuatir jika pengaruh barat mula menular dalam kalangan belia negara itu dan akan menyebabkan keruntuhan pemerintahan rejimnya.

Pada bulan Disember, The New York Times melaporkan negara itu telah mewujudkan undang-undang baru dimana hukuman 15 tahun bekerja di kem kerja paksa jika didapati bersalah kerana menonton sebarang bentuk hiburan dari Korea Selatan.