Luar biasa! Pasangan kembar sama-sama bersalin pada hari jadi, kongsi tarikh lahir dengan anak

KUASA Tuhan. Sepasang saudara kembar wanita di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat mencipta memori manis apabila melahirkan bayi masing-masing pada hari sama yang kebetulan adalah hari lahir mereka.

Autumn Shaw dan Amber Tramontana selamat melahirkan bayi perempuan selang 90 minit pada Khamis lalu (29 Oktober) di Knoxville, Tennessee.

“Kami memang mahukan anak-anak kami memiliki pengalaman membesar bersama-sama seperti ibu mereka.

“Oleh sebab itu, kami mahu melahirkan anak dalam selang masa terdekat, namun kami tidak menyangka akan bersalin pada tarikh sama,” kata Amber kepada saluran berita ABC 6.

Doktor yang merawat adik-beradik kembar itu, George Vick berkata, dia tidak pernah melihat kejadian seperti itu sepanjang 45 tahun bertugas dalam bidang perubatan.

“Insiden seperti ini sangat jarang berlaku. Saya terkejut melihat kelahiran bayi Autumn dan Amber pada tarikh sama. Ini semua takdir Tuhan,” kata Vick.

Sebelum ini, pasangan kembar itu turut melahirkan anak lelaki masing-masing pada tahun sama selang 10 minggu antara satu sama lain.

Bayi perempuan mereka dilahirkan pada 29 Oktober lalu iaitu tarikh hari lahir Autumn dan Amber.

“Kami lakukan semuanya bersama-sama termasuk menuntut di kolej kejururawatan dan memilih kerjaya sebagai jururawat,” kata Autumn. – Agensi

Sumber: Kosmo!