“Kau sekolah ke tidak?” Burung kakaktua ajar burung lain mencarut, maki hamun pengunjung

BUKAN saja suka mencarut, tapi siap ‘mengajar’ lagi burung-burung yang lain supaya menghamburkan kata-kata kesat terhadap pengunjung.

Begitulah tindakan lima burung kakaktua di Taman Hidupan Liar Lincolnshire, Friskney, London, yang terpaksa diasingkan semula selepas haiwan itu suka mencarut.

Kelima-lima burung kakaktua baka Afrika itu – yang bernama Billy, Elsie, Eric, Jade dan Tyson – bukan saja mencarut sesama mereka, tetapi juga memaki hamun pengunjung taman berkenaan selepas dikeluarkan daripada kuarantin.

Taman Hidupan Liar Lincolnshire, Friskney, di London.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Nichols berkata, burung kakaktua baka Afrika itu diterima pihaknya pada 15 Ogos lalu dan dikuarantinkan.

Menurutnya, dalam tempoh pengasingan, burung itu menggunakan masa terluang untuk ‘mengajar’ sesama mereka bahasa kesat.

“Tingkah laku burung ini membuatkan kakitangan taman tidak keruan dan tindakan segera perlu diambil apabila burung kakaktua itu mula menghamburkan kata-kata kurang sopan kepada pengunjung kami.

“Mereka semakin galak mencarut sekiranya pengunjung tertawa dengan tingkah laku biadab itu. Ia umpama kita melihat sekumpulan ahli ‘kelab lelaki tua’ berkumpul.

“Walaupun kami rasa perbuatan itu menggembirakan pengunjung, pada masa sama kami bimbang kesan buruknya kepada pengunjung dalam kalangan kanak-kanak,” katanya seperti dilaporkan portal Mirror UK.

Salah seekor burung kakaktua baka Afrika, Eric yang terpaksa diasingkan kerana suka mencarut.

Katanya, sebelum ini, burung itu pernah dipamerkan kepada pengunjung selama 20 minit dan ia menghamburkan kata-kata kesat. Namun, populariti taman itu naik mencanak.

Nichols mengakui sepanjang 25 tahun membawa spesies itu untuk pameran, ada juga burung kakaktua yang mencarut.

“Burung kakaktua Afrika sangat mahir meniru suara daripada bunyi yang didengari dan dilontarkan semula.

“Mengikut perancangan, burung kakaktua itu akan diletakkan dalam sangkar yang terpisah untuk mengelakkan ia saling mencarut, dan berperangai lebih baik,” katanya. – Agensi

Sumber: Harian Metro