SEORANG ibu bertindak memukul anak lelakinya menggunakan selipar di hadapan tetamu yang menghadiri majlis resepsi pasangan tersebut.
Dia bertindak demikian gara-gara tidak merestui perkahwinan anaknya dengan seorang gadis yang berlainan kasta, lapor Kosmo.
Insiden dipercayai berlaku ketika pasangan mempelai sedang melakukan satu upacara yang dikenali sebagai ‘jaimala’.
‘Jaimala’ merupakan ritual yang dilakukan pasangan pengantin beragama Hindu di mana pengantin lelaki dan perempuan saling bertukar kalungan bunga segar yang diletakkan pada leher masing-masing.
Dalam kejadian tersebut, ibu pengantin lelaki secara tiba-tiba muncul pada majlis resepsi sebelum menuju ke pentas perkahwinan.
Dia kemudian membuka seliparnya serta memukul pengantin lelaki yang merupakan anaknya sendiri di hadapan tetamu yang lain.
Beberapa tetamu juga dilhat cuba membawa wanita itu turun dari pentas perkahwinan, namun dia tetap meneruskan tindakannya itu.
Difahamkan, kedua-dua pasangan mempelai telah pun berkahwin secara sah menurut undang-undang sebelum kejadian itu.
Keluarga pengantin perempuan bagaimanapun tetap terus mengadakan majlis resepsi tanpa menjemput keluarga pihak lelaki kerana mendapat tentangan.
Sumber: Kosmo