Guru Terkejut Murid Memberitahu Makan Serbuk Putih Terus Jadi Spiderman, Rupanya Ia Adalah Dadah Sekaligus Membongkar Kegiatan Bapanya

Boston :

Seorang budak lelaki berusia lima tahun memberitahu guru tadikanya bahawa dia menjadi ‘Spider-Man’ apabila memakan serbuk putih milik bapa yang ditemui dalam beg sekolahnya menyebabkan guru berkenaan menghubungi polis.

Polis yang datang ke tadika di Holyoke, Massachusetts, Amerika Syarikat, Khamis lalu, kemudian mendapati bungkusan serbuk putih dalam beg sekolah kanak-kanak berkenaan adalah heroin.

Menurut laporan Daily Mail, polis kemudian menyerbu rumah kanak-kanak itu dan pemeriksaan menemui lebih 200 bungkus dadah jenis heroin serta kokain termasuk 150 yang ditulis dengan perkataan ‘Power’.

Serbuan itu membongkar kegiatan pengedaran dadah bapanya dan polis menahan lelaki itu yang dikenali sebagai Benny Garcia.

Garcia sudah dihadapkan ke Mahkamah Daerah Holyoke atas dakwaan memiliki dan mengedar dadah serta mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Penolong Peguam Daerah, Matthew Green, memberitahu mahkamah kanak-kanak itu menunjukkan kepada gurunya satu bungkusan plastik yang ditampal dengan gambar Spider-Man.

Kanak-kanak itu yang dihantar ke Pusat Perubatan Baystate untuk pemeriksaan disahkan selamat.

Jurucakap polis, James Albert berkata, kejadian itu begitu mengejutkan kerana ia amat jarang berlaku.