Bungkusan ‘raja buah’ dari Thailand dikesan ada Covid-19

Photo: Thailand Travel

BUNGKUSAN yang mengandungi buah durian dari Thailand dilaporkan dicemari dengan virus Covid-19 ketika melalui pusat pemeriksaan di Mohan, sebuah bandar sempadan di China.

Menurut beberapa pegawai kesihatan China, virus Covid-19 itu ditemui pada trak dan permukaan pembungkusan, lapor Kosmo.

Namun sehingga kini masih tiada sebarang penjelasan diberikan tentang punca perkara itu berlaku dan tindakan susulan yang dilakukan.

Gabenor Wilayah  Chanthaburi di Thailand, Suthee Thongyaem telah mengarahkan peniaga buah-buahan untuk mematuhi langkah kawalan penyakit.

Pekerja sektor tersebut juga diwajibkan melakukan ujian calitan Covid-19 secara berkala.

“Pemeriksaan rutin Covid-19 bagi pekerja mesti dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum sebarang penghantaran dilakukan.

“Ini kerana jika pihak berkuasa di luar negara mengesan terdapat jangkitan, sela masa tiga hari akan dikenakan sebelum proses penghantaran diteruskan,” jelas Suthee.

Jawatankuasa kawalan penyakit wilayah Chanthaburi kini mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk membendung jangkitan yang didakwa oleh pihak berkuasa China.

Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Chalermchai Sri-on menegaskan bahawa agensi yang bertanggungjawab terhadap barangan import perlu lebih teliti terutamanya jika melibatkan  produk yang dihantar ke China.

“Kita perlu lebih peka dengan isu penyebaran  virus Covid-19  pada bungkusan bagi mengelak masalah seperti China menghentikan import durian kita,” tegas Chalermchai.

Pengarah Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian, Chonlatee Numnoo memaklumkan bahawa kira-kira 25,000 tan durian atau empat peratus daripada jumlah pengeluaran durian Thailand dihantar ke China.

Sumber: Kosmo