Peniaga ‘mi sotong berulat’ diberikan notis

PENIAGA mi di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 yang tular di media sosial kerana juadah jualannya yang didakwa mengandungi ulat sudah dikenakan notis amaran selepas didapati gagal memastikan kebersihan di kawasan tapak menjaja.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj) Dr Mohd Helmi Abdul Hamid dalam kenyataannya hari ini berkata, peniaga itu diberikan notis mengikut UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Putrajaya) 2016.

Beliau berkata, notis dikeluarkan pihaknya ketika pemantauan dan pemeriksaan seluruh gerai di Bazar Ramadan itu semalam.

Terdahulu, sejak semalam tular rakaman video di media sosial dikongsikan pembeli di gerai itu memaparkan mi dibeli bersama sotong mengandungi ulat.