Syamel sempat rakam lagu raya solo pertama dalam kesibukan jaga anak – “Moodnya ternyata berbeza”

Syamel sempat rakam lagu raya solo pertama dalam kesibukan jaga anak – “Moodnya ternyata berbeza

PEJAM celik, pejam celik… Tinggal dua minggu lagi sebelum kita bertemu Aidilfitri. Dan buat pemenang bagi kategori Vokal Terbaik di pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, Syamel, 2022 pasti memberi makna apabila tampil dengan single Raya solo pertamanya berjudul ‘Erti Lebaran’.

“Syukur Alhamdulilah kerana pada tahun ini saya telah bergelar bapa, perasaan gembira dan teruja menyelubungi diri kerana tidak sabar hendak mengajarkan ilmu-ilmu bermanfaat buat Khawla. Kini, kehidupan saya dan isteri (Ernie Zakri) lebih bermakna dengan kehadiran puteri sulung kami.

“Namun begitu, dalam kesibukan membesarkan anak, saya masih lagi berkesempatan untuk merakamkan lagu Raya sulung secara solo pada tahun ini kerana mood-nya yang nyata berbeza,” kata pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly kepada The News.

Syamel lancar lagu raya solo pertama.

Setelah hampir 2 tahun dunia dilanda pandemik COVID-19, dan kini memasuki fasa endemik, rata-rata rakyat Malaysia yang bakal menyambut Hari Raya pada tahun ini pastinya tidak sabar untuk merasai kembali pengalaman beraya seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Lagu ini mengisahkan tentang keadaan ketika hendak menyambut Aidilfitri setelah diduga dengan bencana yang menimpa kita, dan akhirnya muncul kembali sinar kegembiraan apabila berpeluang pulang ke kampung halaman bertemu orang tua dan sanak-saudara,” jelas Syamel.

Bagi penggemar lagu Raya klasik, Erti Lebaran pasti menjadi pilihan kerana konsep muzik tradisional yang ditonjolkan dengan melodi malar segar dari paluan bunyi gendang dan juga petikan instrumen akordion jelas menggamit nostalgia Aidilfitri zaman dahulu.

“Saya terinspirasi menghasilkan lagu ini dari kecintaan terhadap karya-karya lagu Raya lama nyanyian Tan Sri S. M. Salim dan Dato’ Jamal Abdillah yang mengimbau kenangan lalu bersama orang tersayang.

“Langkah yang saya ambil ini agak seimbang apabila artis lain muncul dengan konsep yang moden, manakala saya pula mengetengahkan kualiti bunyi lama dengan nilai sentimental yang cukup berharga,” tambah Syamel lagi.

Syamel

Tempoh rakaman single Erti Lebaran ini hanya memakan masa selama sehari, manakala pembikinan video muziknya (MV) pula juga berlangsung seharian dengan konsep yang ringkas dan lebih menitikberatkan lagu tersebut, namun tetap menarik dan tersendiri.

Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment mengulas: “Syamel dan Ernie adalah pasangan suami isteri yang saling melengkapi, jika Ernie muncul dengan lagu ‘Zapin Lebaran’, giliran Syamel pula dengan dendangan klasiknya.

“Saya pasti kedua-kedua lagu mereka akan diterima baik oleh semua orang ketika tibanya Aidilfitri nanti dan dapat memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini.

Kehilangan orang tersayang pastinya sukar, lebih-lebih lagi apabila insan yang dimaksudkan adalah ibu tercinta, ujar Syamel: “Pada tahun lepas umi telah pergi meninggalkan kami sekeluarga, sedih yang dirasai tidak tergambar peritnya, dengan kuasa Tuhan, pada tahun ini saya dan isteri dikurniakan Khawla yang menjadi pengubat luka dan duka dihati.

“Dan istimewanya buat #Syamelovers, semoga lagu ini dapat mengubat rindu mereka yang setia menanti buah tangan terbaharu dari saya, dan saya juga berharap agar semua dapat menerima lagu ini dengan hati terbuka dan penuh kegembiraan.