Bekas anggota polis jual anak perempuan untuk tampung keluarga

Gambar hiasan: UNICEF

GARA-gara tiada wang untuk menyara anggota keluarga lain, seorang bapa mendedahkan dia terpaksa menjual anak perempuannya yang baru berusia empat tahun.

Lelaki yang dikenali sebagai Mir Nazri itu berkata dia menjual anak perempuannya, Safia pada harga £420 (RM2,408) kepada seorang pemilik kedai runcit yang tidak mempunyai cahaya mata.

Situasi Mir yang merupakan bekas anggota polis dilaporkan mengalami kemiskinan yang teruk, lapor Kosmo.

Malah perkara sedemikian dikatakan sebagai perkara normal di Afghanistan sejak kumpulan Taliban mengambil alih pentadbiran negara tersebut.

“Saya sanggup mati jika itu dapat mengelakkan anak saya daripada dijual kepada orang asing.

“Namun, kematian saya akan menjadi sia-sia kerana ia akan membuatkan ahli keluarga lain lebih menderita tanpa penjaga untuk memastikan mereka terus hidup,” kata Mir.

Dia bagaimanapun mendedahkan pemilik kedai runcit itu berjanji akan memulangkan semula anaknya sekiranya dia mampu membayar semula harga jualan Safia .

“Mungkin masa depan anak saya lebih baik dengan keluarga baharu dan wang yang diterima hasil pajakan Safia boleh menyelamatkan anak-anak yang lain.

Menurut Mir, dia dan keluarga melarikan diri ke Kabul sebelum Taliban menguasai ibu negara Afghanistan dan kini bekerja sebagai pembantu gerai di pasar namun gajinya tidak cukup untuk membayar sewa rumah sekalipun.

“Kami bersyukur perang sudah berakhir namun penduduk Afghanistan kini berdepan musuh baharu iaitu kemiskinan,” tambahnya.