Positif dadah, lelaki pandu lawan arus punca dua maut

DUA maut dalam satu kemalangan yang berpunca daripada seorang pemandu lelaki yang memandu secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek merupakan pemandu lelaki berusia 24 tahun dikatakan memandu dari arah Klang menuju ke Kuala Lumpur.

“Tindakan suspek telah menyebabkan berlaku pertembungan terhadap kenderaan jenis Proton Wira.

“Dua mangsa maut merupakan perempuan berusia 18 tahun dan penumpang seorang lelaki berusia 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Selain itu, hasil pemeriksaan terhadap suspek turut mendapati positif dadah jenis ganja.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Angka Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dan memandu secara merbahaya.