Banjir teruk di Indonesia, 30 terkorban

Kredit-Bernama

Seramai 30 orang terkorban akibat banjir yang melanda sejak Rabu lalu di Jakarta, Indonesia.

Kemudian, lebih 60,000 orang dilaporkan masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) walaupun keadaan banjir semakin pulih hari ini.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), jumlah mangsa banjir tersebut direkodkan sejak jam 9 malam tadi dan mereka yang terkorban disebabkan lemas akibat hanyut arus deras, tertimbus tanah runtuh, terkena renjatan elektrik dan mengalami hipotermia.

“BNPB meminta penduduk yang rumah mereka masih dinaiki air berpindah ke tempat selamat berikutan hujan lebat diramalkan terus berlaku dan dibimbangi air akan naik mendadak,” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, beberapa kawasan di kota berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir akibat hujan lebat pada awal pagi Rabu lepas.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan menyatakan antara punca banjir adalah disebabkan hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi sebelum ini adalah pada 2007 dengan bacaan 340 mm.

Bagaimanapun, BMKG turut menyatakan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 10 Januari ini.