Langgar SOP, KJ tak bagi muka, arah KKM kompaun Menteri

SEBELUM ini, orang ramai kelihatan tidak berpuas hati apabila melihat individu VIP seakan terkecuali setiap kali melibatkan isu pelanggaran SOP.

Namun keistimewaan itu tidak digunapakai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bertindak mengarahkan pasukan KKM untuk mengenakan kompaun terhadap Menteri termasuk beberapa ahli politik.

Arahan itu dibuat selepas beberapa ahli politik telah melanggar SOP akibat tiada penjarakan fizikal sewaktu mengikuti program PRN Johor.

Mereka yang dikenakan kompaun ialah Menteri Kanan Pertahanan merangkap Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, dan Pengerusi BN Johor, merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Turut dikenakan kompaun ialah penganjur untuk Majlis Pelancaran Briged MIC Johor, yang diadakan di Kota Iskandar semalam.

“Saya telah mengarahkan pegawai KKM Putrajaya untuk keluarkan kompaun kepada Datuk Seri Hishammuddin, Datuk Seri Hasni, Tan Sri Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir, penganjur di bawah Akta 342.

“KKM Putrajaya akan terus pantau SOP sempena Pilihan Raya Negeri Johor,” kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan merangkap Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui kesilapannya apabila tidak menjangka perkara itu berlaku.

Tambahnya, beliau sedia diambil tindakan dan mengalu-alukan tindakan KKM dalam bertegas mengenai isu SOP.