Tular sejak semalam memo yang dikeluarkan di Masjid Jalan York di Pulau Pinang yang hanya akan membuka pintu masjid itu pada waktu-waktu tertentu bermula 31 Disember ini.
Menerusi memo tersebut masjid tersebut hanya akan dibuka bermula 9.30 pagi dan ditutup pada jam 9.30malam. Sekaligus tiada azan subuh yang berkumandang di masjid tersebut.
Memo yang ditandatangai oleh pengerusi Masjid berkenaan, Dato Dr Basheer Ahamed bin Abdul Kareem ternyata mendapat kecaman daripada warganet yang beranggapan perkara tersebut tidak masuk akal. Malah warganet turut berpendapat memo sebegitu tidak seharusnya dikeluarkan memandangkan masjid adalah rumah ibadah.
Sementara itu melalui laporan Sinar Harian, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memanggil Pengerusi Masjid Jalan York berhubung notis tersebut.
Pengarahnya, Zulkifli Long berkata, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama JHEAIPP untuk berhubung dengan pengerusi masjid tersebut bagi mengadakan sesi perjumpaan secepat mungkin.
“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memanggil pengerusi masjid bagi mendapatkan alasan mengapa notis had operasi masjid seperti itu dikeluarkan.
Kita akan mengadakan perjumpaan secepat mungkin kerana mengikut notis itu, ia akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini,” katanya kepada akhbar berkenaan.
Malah pihaknya juga tidak bersetuju dengan memo tersebut yang dianggap sepatutnya tidak berlaku.