Tular Kumpulan Berzikir Di Kubur, Cicit Tok Kenali Nasihat Jaga Adab Elak Timbul fitnah

Foto: Majoriti

PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan lelaki berzikir dengan kuat dan lantang sambil mengelilingi Makam Tok Kenali, Kota Bharu, menarik perhatian orang ramai apabila video tersebut menjadi tular di laman TikTok.

Penularan video tersebut telah membuatkan orang ramai menjadi takut dan bimbang sekiranya kumpulan tersebut melakukan amalan yang menyimpang daripada agama.

“Amalan apa ini, boleh tak tolong terangkan kepada saya? Tolong bagi pencerahan,” tanya lelaki yang memuat naik video tersebut di laman TikTok.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna terutamanya yang tinggal berdekatan dengan Makam Tok Kenali mengakui amalan tersebut merupakan perkara biasa.

“Rumah saya dekat dengan Makam Tok Kenali ini. Kadang-kadang, malam pukul 12 hingga 1 pagi pun masih ada orang berzikir macam ini. Sudahlah ramai, kuat pula tu,” kata seorang pengguna.

“Saya percaya yang datang ini bukan warganegara Malaysia. Kalau lihat van pun kita tahu mereka datang dari Thailand,” kata seorang lagi pengguna.

“Dalam kalangan ahli keluarga saya, abang saya sangat taksub dengan Tok Kenali sampai gantung gambar di rumah. Dia kata, dia belajar semua ini di pondok,” kata Atika.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 18,800 tanda suka dan 2,996 komen.

Menurut sebuah video yang dimuat naik oleh Pengerusi Pondok Tok Kenali, juga cicit Tok Kenali, Ustaz Hafiz Hukmi di laman TikToknya, dia menasihatkan orang ramai yang datang mengunjungi Makam Tok Kenali agar menjaga adab dan akhlak masing-masing.

“Sekiranya kita beradab, mengikut saranan para alim ulama, tidak akan timbul lagi fitnah sebegini dalam kalangan masyarakat.

“Jangan sesekali lakukan amalan yang khilaf dari segi agama, takut menjadi fitnah. Ini bukan ajaran Tok Kenali,” katanya dalam video sama. 

Sumber: Kosmo