Petronas Rugi RM13.5 Juta, Diesel Diseleweng Pekerja Di Pantai Timur

Foto: Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Seramai 15 lelaki ditahan polis dalam operasi penyelewengan minyak diesel melibatkan syarikat Petronas di beberapa negeri Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi itu dijalankan hasil siasatan dalaman Petronas dan risikan pihak polis.

“Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun. Mereka ditahan menerusi operasi bersepadu di sekitar ibu negara, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 21 Ogos lalu.

“Hasil operasi, polis merampas dua kenderaan, 16 telefon bimbit, 17 set dokumen, 16 pek kad sim dan dua kad syarikat. Selain, dua pengukur kedalaman tangki minyak, satu ‘gasoline gauging paste’, satu kad pelaut, satu mesin kira, satu tablet, dua komputer riba serta tiga cop pelbagai syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramli berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak 2021 dan mengakibatkan syarikat Petronas mengalami kerugian dianggarkan RM13.5 juta bagi tempoh Januari 2021 hingga Februari lalu.

“Sindiket ini yang dianggotai oleh individu daripada pelbagai kelas jawatan dalam bidang perkapalan dikesan menjual semula baki diesel diperuntukkan kepada setiap kapal logistik marin kepada pembeli secara haram.

“Harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM1.80 hingga RM1.98 liter dan hasil jualan dibahagikan antara krew bertugas pada tempoh masa terbabit,” katanya.

Jelas Ramli, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Siasatan berhubung kes ini masih diteruskan untuk menilai sejauh mana aktiviti berkenaan berleluasa dan mengenal pasti mereka yang terbabit,” katanya.