Polis Sedang Memburu Suspek Intai Wanita Di Stesen Minyak Di Tapah

Foto : Kosmo

TAPAH – Polis sedang mengesan lelaki yang didakwa mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak seperti dalam video yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian di sebuah stesen minyak di sini berlaku semalam, pada pukul 4.50 petang dan laporan polis dibuat pada hari yang sama.

“Laporan polis dibuat pengadu berusia 33 tahun yang mendakwa telah diintai seseorang melalui ruang atas tandas semasa sedang menggunakan tandas di stesen minyak berkenaan.

“Berdasarkan semakan televisyen litar tertutup (CCTV), didapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke dalam tandas wanita sebelum beredar menaiki kereta jenis Toyota Avanza,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Pusing, Batu Gajah.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman CCTV berdurasi 41 saat, memaparkan seorang wanita masuk ke dalam tandas sebuah stesen minyak sebelum suspek dipercayai lelaki warga tempatan turut masuk ke dalam tandas sama. 

Sumber : Kosmo