Lembaga Hitam Di Stadium MBPJ Rupanya Gimik Promosi Filem ‘Rahsia’

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Misteri lembaga hitam yang muncul di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sewaktu perlawanan antara PDRM FC dan Selangor FC sebenarnya gimik promosi filem Rahsia.

Kemunculan lembaga hitam tersebut sebelum ini tular di media sosial sehingga mencetuskan tanda tanya orang ramai khususnya peminat bola sepak tempatan yang hadir pada perlawanan itu.

Malah, ia tular di media sosial sehingga membuatkan orang ramai tertanya-tanya mengenai lembaga tersebut.

Bagaimanapun, ada yang berkongsi gambar lembaga hitam tersebut muncul sewaktu tayangan perdana filem Rahsia baru-baru ini.

“Gimik nak promosi filem hantu sampai kena guna bola sepak. Tapi elok lah pun, bola sepak Malaysia ni masih banyak hantu yang menghantui,” kata seorang pengguna Twitter.

Semalam, Kosmo! melaporkan kehadiran empat lembaga hitam di Stadium MBPJ telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Rata-rata pengguna di laman sosial berpendapat lembaga hitam tersebut mungkin merupakan gimik bagi sebuah filem yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Rahsia merupakan naskhah seram yang diolah dan dirombak daripada karya asal yang pernah diterbitkan pada 1987, sehingga dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-7.

Watak utama bernama Ramlah digalas oleh Nabila Huda yang pernah dilakonkan oleh Noorkumalasari dalam versi asal. 

Sumber : Kosmo