Nak Untung Lebih, Tuan Rumah Ambil Kesempatan ‘Renovate’ Dapur Jadi Bilik Sewa

Foto: Twitter

PETALING JAYA – Disebabkan ingin mengaut keuntungan yang lebih tinggi, seorang tuan rumah tergamak mengubah suai kawasan dapur untuk dijadikan bilik tambahan.

Menurut sebuah hantaran tular di laman Twitter, bilik tersebut hanya boleh memuatkan sebuah katil bujang yang diletakkan di sebelah deretan sinki.

“Pertama kali jumpa bilik sewa macam ini,” tulis pengguna tersebut.

Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing terhadap tindakan tuan rumah yang tidak berperikemanusiaan.

“Kalau jumpa bilik sewa macam ini, tolong buat laporan. Kita kena lawan tuan rumah atau pelabur yang sanggup buat macam ini sekali terhadap penyewa,” kata Syafiq.

“Aku pernah tinggal di rumah sewa yang lebih kurang sama. Lebih teruk, bilik sewa itu kami kena kongsi dua orang. Sudahlah sempit, ada pepijat pula tu,” kata seorang lagi pengguna.

“Kakak saya pernah terkena macam ini. Tuan rumah sampai tambah bilik sebelah dapur. Kalau penyewa nak masuk bilik tu, kena lalu dapur. Tak ada tingkap dan pengudaraan langsung dalam bilik itu,” kata Syaf.

Lokasi rumah sewa tersebut dipercayai di Ipoh, Perak.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 4,671 tanda suka dan 1 juta tontonan. 

Sumber: Kosmo