Nafi gunakan duit dana ke Makkah beli kereta baru, warga emas jelaskan hal sebenar

Tular sejak beberapa hari lalu di beberapa kumpulan laman Facebook yang mempertikaikan misi kayuhan solo warga emas, Sitdek Ahmad Ali, 62, ke Makkah

Dikatakan Sitdek menggunakan wang sumbangan orang ramai yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan misinya itu untuk membeli beberapa kenderaan peribadi.


Menjelaskan keadaan sebenar kepada Harian Metro, Sitdek memberitahu sebuah kereta dan dua motosikal yang kononnya dibeli menggunakan duit dana itu adalah fitnah.

Malah jelasnya kereta yang baru dibeli itu dibeli melalui duit simpanan hasil pemberian anak-anaknya seramai 10 orang selain duit hasil pendapatan sebagai peneroka.

“Saya mempunyai 10 anak dan kebanyakannya sudah bekerja, secara logiknya sudah tentu mereka memberikan wang kepada saya serta isteri. Tidak pernah saya ceritakan (hal peribadi) kepada semua orang dan saya rasa tidak perlu pun untuk saya beritahu.

“Namun saya tak sangka pula (beli kenderaan) akan jadi isu. Saya beli kereta terpakai menggunakan wang hasil jualan kuda manakala motosikal baharu pula milik anak saya yang dibeli menggunakan wang yang dipulangkan oleh pemilik motosikal lama kerana ada masalah dokumentasi,” katanya.

Sementara itu Sitdek memberitahu apa yang berlaku ini tidak akan menjejaskan fokus untuk ke Makkah. Sementara itu dia kini terpaksa meninggalkan basikalnya di Kuantan memandangkan keadaan banjir di sana pada 19 Disember lalu.