Mangsa kemalangan rayu warganet kesan pencuri

Sudahlah mengalami kemalangan jalan raya, siapa sangka dalam keadaan itu ada pula individu tidak bertanggungjawab mencuri barangan peribadi mangsa kemalangan tersebut.

Berkongsi apa yang berlaku ke atas dirinya dan rakan, pengguna laman sosial Anne Regina atau nama sebenarnya Anne Mukhtar memberitahu rakannya Nana Mohamad Rom kehilangan beg tangan ketika masih panik dengan apa yang berlaku.

Berharap agar pencuri tersebut mengembalikan beg tersebut, menurut pengguna laman sosial ini cukup penting untuk rakanya itu kembali mendapatkan kad pengenalan, lesen memandu dan beberapa barangan penting.

Sementara itu menerusi perkembangan berbeza, Anne turut berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki disyaki pencuri sedang melakukan urusniaga di sebuah kedai.

Berharap agar pencuri itu segera diberkas, pihaknya juga meminta jasa baik warganet untuk berkongsi apa yang berlaku ini dalam mengesan pencuri terbabit.

“Saya dan Nana Mohamad Rom terlibat dalam kemalangan di LDP pada jam 3 pagi. Beg tangan Nana hilang semasa kejadian ini.

“Minta bantuan kawan kawan untuk share post ini untuk mendapatkan balik beg tangan itu. Kepada pencuri itu sila Pulangkan barang2 yang penting spt IC, driving lesen etc etc kepada Tuan nya dengan kadar segera sila lah fedex atau pos laju,”tulisnya.