Mangsa buli siber mahu saman influencer kontroversi di mahkamah

KONTROVERSI membabitkan influencer, Eira Aziera yang viral di media sosial sejak seminggu lalu kini memasuki episod baharu apabila salah seorang mangsanya dilaporkan mahu mengheret kes itu ke mahkamah.

Mangsa, Suharnizan Md. Sidek yang diwakili peguam, Mohd. Rasheed Hassan mahu personaliti media sosial terbabit, Eira Aziera atau Noorazira Pissal untuk meminta maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

“Jika dia gagal berbuat demikian, kita akan membawa kes ini untuk tindakan saman di mahkamah,” kata Mohd. Rasheed kepada Kosmo! di Johor Bahru, petang tadi.

Suharnizan membuat laporan polis.

Terdahulu, Suharnizan, 37, yang juga Pesuruhjaya Sumpah ditemani Mohd. Rasheed membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berhubung perbuatan wanita itu.

Suharnizan mendakwa, dia bukan sahaja mengalami kemurungan, malah mengalami gangguan emosi akibat menjadi mangsa buli di media sosial yang menghina bentuk fizikal (body shaming) oleh influencer terbabit, bulan lalu.

Dakwa Suharnizan, cacian dan makian yang didakwa dilakukan personaliti terbabit menerusi Facebook secara langsung telah menyentuh rupa fizikalnya.

“Malah wanita itu juga memaparkan beberapa gambar saya dan anak-anak tanpa kebenaran di Facebook Live yang ditonton oleh ramai pengikutnya sekali gus memberi kesan mendalam kepada kami.

“Walaupun perkara itu terjadi hampir sebulan, namun terdapat akaun media sosial lain yang memuat video itu semula sekali gus mencetuskan suasana tidak selesa kepada kami sekeluarga sehingga kini,” katanya.

Bercerita lanjut, Suharnizan mendakwa, kejadian itu berlaku selepas dia meninggalkan satu komen ketika wanita berkenaan melakukan Facebook Live pada pukul 10 pagi, 18 Ogos lalu.

Dakwanya lagi, tanpa disedari influencer terbabit telah membalas komen itu secara langsung di akaun Facebook milik personaliti berkenaan yang berbaur ‘body shaming’.

Eira ketika membuat permohonan maaf di Facebook miliknya.

“Oleh itu, saya telah mendapatkan nasihat peguam dan meminta untuk membuat tuntutan sivil kepada Noorazira (Eira Aziera),” katanya.

Selain Suharnizan, Eira Aziera turut didakwa terlibat dengan satu lagi insiden kontroversi bersama seorang pemilik restoran di Melaka yang mencetuskan kemarahan netizen.

Eira Aziera bagaimanapun telah membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebook Live miliknya berhubung kedua-dua insiden itu pagi semalam.

Sumber: Kosmo!