Luahan sayu pakcik putus tangan dilanggar lori runtun perasaan netizen – “Rasa macam ada tangan lagi”

BARU-BARU INI, berlaku satu kemalangan langgar lari sebuah lori yang telah melanggar pekerja penyelenggaraan jalan di Johor Bahru, Johor sehingga kehilangan tangan kerana kecederaan parah dan terpaksa dipotong, lapor Oh! Media.

Rentetan insiden itu yang viral di media sosial, pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew telah menjadi antara individu yang awal untuk datang menziarahi mangsa di Hospital Sultan Ismail selepas selesai ceramah di Maktab PDRM Muar.

“Pakcik ini menangis tadi. Katanya, terasa macam ada tangan lagi. Rasa macam nak gerakkan jari. Pakar minta abang ni selalu usap tangan tu dan cakap tangan dah tiada. Allah ambil, InsyaAllah nanti di akhirat, semuanya sempurna,” kongsi Ebit Lew seperti mana laporan Oh! Media.

Pakcik berkenaan turut meluahkan rasa bimbangnya kepada Ebit Lew yang selepas ini dia tidak dapat memandu kereta dan menghantar isteri pergi kerja lagi sedangkan selama ini dialah yang hantar dan ambil isteri dan anak-anak.

“Kami berdoa bersama. Masa beri sedikit sumbangan. Abang ni menangis katanya kenapa banyak sangat ustaz. Ya Allah. Pakcik tadi doakan saya. Semoga Allah beri kekuatan pada abang,isteri dan anak-anak.

“Terima kasih YDH SAC Komandan Sulaiman. Terharu ACP Rubiah dan anggota Polis Johor yang bersama-sama tadi dan jamu kami makan tengah hari. Terima kasih Pegawai Hospital dan semua kakitangan hospital yang bersama kami. Baik-baik orang Johor,” tulis Ebit Lew.

Sumber: Oh! Media