Kuasa ‘netizen’, jualan minyak wangi uncle OKU ini ‘meroket’ sampai terpaksa henti terima pesanan

TIDAK dinafikan, kini semakin ramai peniaga yang mengambil alternatif menjual di atas talian kerana platform tersebut mampu membantu sesetengah peniaga untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka. Bahkan, ia juga dapat menambahkan lagi jumlah pelanggan mereka jika mereka mempunyai teknik pemasaran yang baik.

Baru-baru ini tular seorang lelaki kurang upaya (OKU), Foo Chia Keat atau lebih mesra dipanggil Uncle Foo mencatatkan begitu banyak penjualan sehingga dia terpaksa berhenti menerima pesanan untuk membolehkannya mengikuti permintaan yang tinggi.

Perkongsian yang sebelum ini dikongsi oleh seorang lelaki dikenali sebagai Fahrin Ahmad di Facebook, menceritakan kisah sedih mengenai Uncle Foo yang menggunakan kaedah live menerusi satu platfom membeli belah secara atas talian untuk menjual produk wangian Bliese.

Namun, ia mengundang reaksi simpati apabila live tersebut hanya ditonton oleh tujuh orang sahaja. Selepas perkongsian tersebut tular, Foo telah menerima penjualan yang luar biasa.

Apa yang menarik, Uncle Foo juga adalah seorang yang fasih berbahasa melayu. Mengulas lanjut, jumlah pengikut Foo juga semakin meningkat secara mendadak.

Pada masa yang sama, menerusi posting Facebook peniaga tersebut berulang kali mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong perniagannya.

Katanya, “Terima kasih semua yang order semalam dengan pagi ini kita akan usahakan postage nanti. Terima kasih yang support bisness saya dan tolong viralkan di Twitter sekarang dah ada banyak order. Saya akan usaha kan. Stok pun limited dah kalau stock tak ada kita cancel dulu order tersebut”.