Kelibat ‘lebai kenit’ bermain di depan masjid jadi tanda tanya

SEJAK semalam, tular sebuah rakaman video memaparkan kelibat lembaga kecil seperti kanak-kanak memakai jubah dan serban serba putih di hadapan Masjid Kongsi, Balik Pulau

Video berdurasi 18 saat itu dirakam kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya pada pukul 11.55 malam, 28 Mei lalu.

Menerusi video itu, kelihatan objek menyerupai manusia kenit yang lengkap berjubah putih berada di tepi jalan.

Lokasi berkenaan merupakan kawasan perkampungan penduduk dan terletak berhampiran Pekan Kongsi di sini.

Rata-rata netizen mempersoalkan sama ada ‘lebai kenit’ itu adalah manusia, namun jika diperhatikan semula ia kelihatan seperti tidak mempunyai kaki dan tangan.

Kehadiran Lebai Kenit di kawasan tersebut dipercayai bukan kali pertama kerana ada pengguna jalan raya mendakwa pernah terserempak dengannya beberapa kali di kawasan sama.

Seorang pengguna media sosial mengesahkan perkara itu dan memberitahu, Lebai Kenit sememangnya wujud, namun ia tidak mengganggu penduduk dan pengguna jalan raya.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Shahril, 32, mendakwa, kelibat itu merupakan seorang kanak-kanak yang bermain di tepi jalan bersama dua lagi rakannya kerana laluan tersebut lengang.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang kariah masjid selepas video (kehadiran Lebai Kenit) tular di media sosial.

“Kariah lelaki itu memaklumkan kumpulan kanak-kanak tersebut bermain pada waktu kejadian (video dirakam) kerana tiada kenderaan melalui kawasan berkenaan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber: Kosmo