Kekalkan suhu badan dan lindungi puting susu, lembu Rusia kena pakai coli

SEKAWANAN lembu betina di sebuah pekan kecil, Oymyakon di Rusia disarungkan coli khas yang diperbuat daripada material wul sepanjang musim sejuk, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Mail kelmarin, Oymyakon ialah sebuah perkampungan terpencil dan paling sejuk di dunia. Suhu di kawasan itu boleh mencapai sekitar -45 darjah Celsius.

Penternak tempatan, Nikolay Atlasov yang berusia 70-an menyatakan coli buatan tangan itu amat sesuai untuk kawanan lembu khususnya ketika musim sejuk bermula.

Coli berbentuk segitiga itu akan disarung pada badan lima ekor lembu betina milik Atlasov yang diternak di wilayah Yakutia.

Setiap kali kawanan lembu dibawa ke lopak air untuk minum, Atlasov akan mengenakan coli itu kerana suhu di kawasan itu boleh menyusut hingga -60 darjah Celsius.

“Ini cara lembu baka Yakut menghabiskan musim sejuk dan merupakan sumber pendapatan kami. Lembu akan beratur dan (lembu) yang paling tua akan minum dulu,” kata Semyon Sivtsev, penduduk tempatan yang merakam aktiviti itu.

Coli khas itu diperbuat menggunakan kulit dan bulu kambing biri-biri, bulu arnab atau cebisan kot musim sejuk milik pemilik yang tidak lagi digunakan. Coli itu diikat pada lembu menggunakan tiga utas tali panjang.

Tujuan penggunaan coli itu adalah untuk membantu melin­dungi kulit lembut pada bahagian puting susu sekali gus mengelakkan kehilangan sehingga dua liter susu bagi seekor lembu, kata penduduk tempatan.

“Perkara utama ialah memastikan suhu badan haiwan itu kekal hangat. Kawanan lembu ini tidak memakai pakaian lain, cuma coli khas,” kata Semyon.

Perkampungan Oymyakon dikenali sebagai tempat paling sejuk di dunia yang didiami manusia dan digelar Pole of Cold (Kutub Kesejukan).

Sumber: Kosmo!