INDIVIDU tular yang didakwa memalukan seorang gelandangan warga emas dikompaun RM1,500 berikutan tidak memakai pelitup muka di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kejadian berlaku pada 27 Julai lalu sekitar jam 11.30 pagi.
Sewaktu kejadian, lelaki tersebut dikatakan sedang menyampaikan ceramah bertajuk ‘ubah hidup’ kepada 20 orang gelandangan.
“Individu tersebut telah dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan.
“Polis Dang Wangi telah mengeluarkan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit.
Meskipun difahamkan lelaki berkenaan memberikan ceramah namun tindakannya menerima kecaman netizen apabila dilihat bersikap kurang ajar terhadap warga emas tersebut.
Situasi itu kelihatan warga emas berkenaan diaibkan di khalayak ramai ketika ceramah tersebut berlangsung.
Video tular berdurasi 49 saat itu juga secara jelas menunjukkan lelaki berkenaan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di lokasi tersebut.