Bukan biashe biashe! Jadi ‘bapa segera’ 23 anak setahun selepas derma sperma

INI baru betul bukan kaleng kaleng! Seorang lelaki Vietnam di Australia yang menjadi ‘bapa segera’ kepada 23 anak dalam tempoh setahun selepas mendermakan spermanya, kini disiasat pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

Ini berikutan garis panduan agensi kerajaan di Victoria, sebuah negeri di negara itu, hanya membenarkan sperma seorang penderma digunakan untuk membantu 10 wanita sahaja.

Alan Phan, 40-an, yang sudah berkahwin, sebelum ini mendermakan spermanya secara sukarela kepada wanita dan juga melalui beberapa klinik di Queensland dan Victoria.

Tetapi selepas mempunyai 23 anak dalam satu tahun, ada pihak membuat laporan terhadap lelaki itu kepada Lembaga Bantuan Kesuburan Victoria (VARTA) iaitu agensi kerajaan khusus bagi menyelaraskan penderma sperma.

Ketua Pegawai Eksekutif VARTA, Louise Johnson berkata, embrio lain yang terbentuk daripada sperma lelaki berkenaan yang masih dalam simpanan tidak lagi boleh digunakan.

“Selepas klinik rawatan mengetahui lebih daripada 10 bayi dilahirkan melalui sumbangan seorang penderma, mereka tidak boleh menggunakan sperma daripada penderma sama,” katanya.

Beliau berkata, VARTA perlu memastikan tidak ada lagi bayi yang lahir menggunakan sperma didermakan oleh Alan.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Alan berkata, dia mendermakan spermanya bagi membantu individu atau pasangan yang mahu mempunyai anak.

“Saya tahu sperma saya sudah menyumbang kepada sembilan kelahiran. Kemudian, saya menerima mesej daripada seorang wanita mengatakan sperma ke-10 saya berjaya menghasilkan anak,” katanya.

Alan mendakwa menjadi orang Vietnam pertama menderma di kumpulan Facebook, Sperm Donation Australia dan ramai penerima mahukan benihnya kerana peratusan kadar kehamilan yang tinggi.

Alan sebelum ini menyifatkan sumbangannya sebagai hobi dan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan tambahan bagi memastikan ‘benihnya’ berkualiti.

Setiap negeri di Australia mempunyai undang-undang, peraturan dan garis panduan berbeza berhubung bantuan kesuburan membabitkan sperma didermakan daripada seorang penderma.

Sumber: Harian Metro