Berlakon jadi mayat, namun betul-betul ditimbus tanah kubur

SEBUAH klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang lelaki yang berpura-pura menjadi mayat di dalam sebuah kubur sebelum tertimbus tanah.

Video itu dimuat naik dalam satu akaun Instagram, lapor Kosmo.

Melalui rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki berbaju hitam, berseluar biru dan bertopi sedang berada di dalam sebuah kubur yang baru sahaja digali.

Lelaki itu kemudian berbaring di sisi kanan kubur seolah-olah dia telah meninggal dunia dan sedang ditanam.

Pada awalnya, dia tersenyum kepada perakam yang merakamkan dirinya.

Tidak lama kemudian, setelah selesa berada di posisi yang dimahukan, tanah kubur di sebelah kanannya runtuh lalu menimbusnya hidup-hidup. 

Lelaki itu masih bernasib baik kerana tanah yang menimbusnya tidak terlalu banyak.

Dia bagaimanapun dikatakan masih mampu keluar dari timbunan itu.

Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Maksudnya sudah diizinkan meninggal dunia,’’ tulis seorang netizen.

“Gurauan terakhir sebelum akhirnya dijemput malaikat,’’ komen netizen lain.

Sumber: Kosmo