Bakal suami buat hal tak datang majlis pernikahan, wanita ini nekad teruskan majlis bertemankan keris

SEORANG gadis terpaksa melalui detik menyedihkan apabila berkahwin tanpa calon suami.

Namun apa yang menarik perhatian, kehadiran bakal suaminya itu diganti dengan sebilah keris sebagai simbolik lelaki.

Pengantin perempuan, Ni Putu Melina,22, yang berasal dari Kecamatan Blahbatuh, Pulau Bali melangsungkan majlis tersebut sendirian selepas bakal suaminya secara tiba-tiba enggan meneruskan perkahwinan.

Bapa Melina, I Ketut Suwrdita berkata, punca pembatlan perkahwinan adalah kerana bakal suami anaknya itu enggan mengikut adat tradisional masyarakat Bali iaitu ‘nyentana’

‘Nyentana’ adalah  adat di mana lelaki perlu tinggal di rumah keluarga wanita sehingga isterinya hamil.

“Mereka sudah lama bercinta, namun kerap  putus dan disambung semula. Pada mulanya, bakal suaminya setuju untuk ‘nyentana’ bagi tempoh sehingga anak saya disahkan hamil selepas berkahwin.

“Apabila persiapan perkahwinan sudah selesai, lelaki itu tiba-tiba tidak mahu untuk ‘nyentana’,” jelas Ketut.

Menurut Ketut, dia tidak tergamak membatalkan majlis perkahwinan itu lalu mengambil keputusan meneruskannya dengan menggantikan kehadiran suami dengan sebilah keris.

“Saya tidak malu video perkahwinan tanpa suami Melina tular kerana saya mahu orang tua dan gadis-gadis di luar sana ambil pengajaran apa yang berlaku.

“Cukup anak saya seorang yang diperlakukan begini,” jelasnya.

Sumber: Kosmo