MAHKAMAH Tinggi Shah Alam memutuskan untuk ketepikan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja yang tular selepas didapati mencuri tabung masjid di Rawang pada minggu lalu.
Sebaliknya, hukuman itu menurut Hakim Datuk Abd Halim Aman digantikan dengan perlu melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala remaja itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.
Remaja berkenaan bagaimanapun mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Baru-baru ini, Daniel Iskandar, 19 tahun tular angkara perbuatannya sebelum dia dimandikan seperti jenazah oleh Ahli Jawatankuasa Masjid.
Tindakan itu juga menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk mereka yang bersetuju dan ada juga yang beranggapan tinkadan tersebut agak keterlaluan.
Perbuatan remaja terbabit turut mendapat reaksi daripada pihak datuknya sendiri apabila tampil mengakui Daniel sememangnya merupakan remaja yang bermasalah.