Acah nak ambil power bank, rupanya lari bersama jam G-Shock ribuan ringgit

Acah nak ambil power bank, rupanya lari bersama jam G-Shock ribuan ringgit

TERPAKSA berputih mata… Itu kejadian yang menimpa seorang pengguna Facebook, Ahmad Firdaus, apabila seutas jam tangan jenama G-Shock miliknya dilarikan seorang individu yang menyamar sebagai pembeli di Kota Warisan, Sepang.

Melalui perkongsiannya lagi, Firdaus mendedahkan jam jenis Frogman GWF-1000 itu juga bernilai kira-kira RM1,450.

“Minta jasa baik rakan2 yang ada info/kenal budak ni.

“Dia bawa lari jam saya jenama G Shock Frogman GWF-1000 original dari Jepun di restoran Ali Maju kota warisan berhadapan Perodua pagi tadi (Khamis), tulis Firdaus.

Tambah Firdaus, kejadian berlaku apabila suspek menjelaskan ingin mengambil power bank di dalam kereta bersama jam tangan tersebut semasa urusniaga Cash On delivery (COD).

Namun dia tidak menyangka suspek terus menghilangkan diri selepas itu biarpun dia meninggalkan bag sandang, dompet serta telefon bimbit di lokasi kejadian.

“Modus operandi memang dirancang dengan meletakkan bag , casing fon serta wallet kosong atas meja makan bagi menunjukkan dia adalah serius buyer jam tersebut.

“Kemudian terus ke kereta kononnya nak ambil power bank sekejap . Rupanya terus lesap bersama jam,” dedah Firdaus.

Jelas Firdaus lagi, dia tidak menyangka dompet yang ditinggalkan dompet kosong serta casing kosong telefon bimbit.

“Kemudian saya periksa beg porch yang di tingalkan atas meja tu, pupanya dalam beg tu ada wallet kosong dan juga casing phone terbalik (nampak mcm phone betul untuk mengaburi mata saya),” tulisnya lagi.

Mangsa turut meminta bantuan bagi menjejak suspek.

Laporan polis juga telah dibuat Firdaus bagi tindakan lanjut pihak berkuasa.

Menjengah di ruangan komen perkongsian tersebut, beberapa individu turut mendedahkan pernah menjadi mangsa modus operandi suspek.

“Saya kena dua minggu lepas di Seksyen 7, Ahah Alam, harap muka sahaja skema,” tulis Muhd Zahidi.

“Bos…Kalau dapat kasi roger. Sebab pun ada kena, G-Shock Rangeman jerung hijau. Orang yang sama, kena area mamak Sri Hartamas,” tulis Irwan Hafiz.