Johnny Depp menang saman fitnah bekas isteri, dapat ganti rugi RM45 juta

Johnny Depp menang saman fitnah bekas isteri, dapat ganti rugi RM45 juta

SELEPAS enam minggu turun naik mahkamah bagi menjalani perbicaraan kes saman fitnah terhadap bekas isteri, pelakon Johnny Depp akhirnya dapat menarik nafas lega apabila juri yang bersidang Mahkamah Circuit di Fairfax Country memutuskan Depp itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).

Juri memutuskan pelakon yang terkenal dengan filem lakonannya iaitu Pirates of the Caribbean dibayar AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif.

Juri juga membuat keputusan bekas isterinya, Amber Heard, 36, dibayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta).

Depp, 58 memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post mengenai dakwaan keganasan seksual dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).

Dalam keterangan kepada mahkamah, Depp yang sinonim dengan watak Captain Jack Sparrow menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak ganas.

Melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram miliknya awal pagi tadi, Depp meluahkan rasa lega atas kejayaan memenangi kes saman itu.

“Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

“Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah yang palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

“Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula. Saya sangat rendah diri,” Tulisnya yang menjelaskan rasa tersentuh dengan sokongan peminat sepanjang perbicaraan berlangsung.

Memetik laporan Berita Harian pula, Heard yang juga pelakon filem Aquaman dikatakan meluahkan rasa kecewa dengan keputusan juri.

“Kekecewaan yang saya rasakan hari ini tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Saya patah hati semua bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

“Saya lebih kecewa dengan impak keputusan juri ini terhadap wanita. Ini suatu ‘setback’ (langkah berundur) apabila wanita yang menegakkan hak namun akhirnya dimalukan.

“Ini suatu ‘setback’ apabila keganasan terhadap wanita tidak diberi perhatian serius.

“Saya sedih tewas kes ini. Tetapi saya lebih sedih apabila saya hilang hak yang saya fikir ada sebagai rakyat Amerika Syarikat,” katanya.

Mereka bertemu pada 2011 ketika berlakon filem The Rum Diary sebelum mendirikan rumah tangga pada Februari 2015.

Namun mereka disahkan berpisah dua tahun kemudian.

Sumber: Berita Harian