Suri Rumah Tak Mengaku Campak Kucing Dari Tingkat Satu Hingga Mati

 

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah mencampak anak kucing hingga mengakibatkan haiwan itu mati dari koridor tingkat satu, hadapan sebuah rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, pada jam 7.35 pagi, 25 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah seksyen 29(1) akta sama, yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Fadzilah Abdul Karim mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekat.

Bagaimanapun, Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin tanpa dikenakan sebarang syarat.