Parah Selepas DITETAK Dengan Parang Dalam Pergaduhan

Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan parang dalam satu kes pergaduhan di sebuah rumah di Taman Keladi, di Sungai Petani, kelmarin.
 
 
Menurut laporan diterima, Dalam kejadian 8.30 malam, mangsa berusia 29 tahun diserang dua lelaki yang membawa sebilah parang ketika mangsa sedang membaiki motosikal di parkir rumah terbabit.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak berpuas hati selepas mangsa membuat laporan polis mengenai ugutan yang dilakukan suspek sebelum ini.
 
“Suspek dikatakan datang ke rumah berkenaan dalam keadaan marah sebelum mangsa bertindak melarikan diri ke dalam tandas rumah itu.
 
 
“Salah seorang suspek menetak pintu tandas bertubi-tubi sehingga pintu tandas terbuka dan mangsa cuba menepis menggunakan tangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
 
Shamsudin berkata, akibatnya, mangsa mengalami luka sepanjang tiga inci di tapak tangan kiri akibat kesan tetakan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
 
Katanya, ibu bapa mentua mangsa yang ketika itu berada di tempat kejadian turut ditolak sehingga terjatuh oleh suspek ketika cuba meleraikan pergaduhan.
 
Beliau berkata, berikutan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di Taman Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, kira-kira 10.30 pagi semalam bagi membantu siasatan.
 
“Polis sedang mengesan suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu.
 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.