Mechamato Tembus Pasaran Antarabangsa, Bakal Ditayang Di Tokyo MX

Foto: Animonsta Studios

Kuala Lumpur : Siri Mechamato terbitan Monsta menjadi animasi pertama Malaysia bakal ditayangkan di stesen TV Jepun menerusi Tokyo MX bermula 6 Oktober ini.

Pengarah Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, pencapaian itu sangat besar makna buat mereka dan gembira kerana animasi negara ini mendapat pengiktirafan membanggakan di sana.

“Ia membuka satu lembaran baharu untuk Monsta. Pasaran Jepun sangat sukar untuk ditembusi oleh animasi antarabangsa, apatah lagi dari negara di Asia Tenggara seperti Malaysia.

“Satu daripada syarat penyiaran program antarabangsa di saluran TV Jepun adalah siri animasi terbabit perlu mempunyai budaya dan tradisi sendiri yang boleh memberi ilmu pengetahuan kepada penonton,” katanya.

Siri Mechamato juga akan diedarkan di TVer, iaitu perkhidmatan Video Atas Permintaan (VOD) dengan lima penyiar komersial di Tokyo iaitu Nippon TV, TV Asahi, TBS Television, TV Tokyo dan Fuji Television.

Ini membolehkan penonton untuk menonton program televisyen yang mereka terlepas sewaktu siaran awal secara percuma selama seminggu.

Siri terbabit juga turur ditayangkan di Jepun menerusi aplikasi atas talian seperti Netflix, HBO Go, Amazon Prime, Hulu, dAnimeStore, J:Com dan FOD serta Bandai Channel, Oktober ini.

Bukan itu saja, Tokyo MX Mall juga bakal menjual mainan FGURA Mechamato menerusi laman pesanan mel.

Mechamato sebelum ini pernah memenangi anugerah Anime Fan Award di Tokyo Anime Award Festival 2023.

Sumber: Kosmo