Lelaki tular lastik kenderaan dakwa sedang berhalusinasi

SEORANG lelaki di Sungai Petani memberi alasan sedang berhalusinasi selepas ditahan polis apabila kelakuannya melastik ke arah sebuah lori di lampu isyarat Amanjaya arah Sungai Lalang dirakam petang semalam,

Pada kejadian 6.20 petang itu, suspek berusia 49 tahun itu pada mulanya dilihat menunggang motosikal sambil memegang lastik di tangan kirinya, lapor Harian Metro.

Suspek yang juga seorang penganggur kemudian memberhentikan motosikalnya di satu persimpangan sebelum dia secara tiba-tiba melastik ke arah lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, seorang pemandu kereta sempat merakam perbuatan suspek sebelum dia berkongsi dan memuat naik video kejadian itu di Facebook (FB) supaya orang ramai berwaspada.

Menurutnya, bimbang kemungkinan berlaku perkara lebih buruk, pemandu kereta berkenaan kemudian membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

“Susulan daripada laporan itu, sepasukan polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah di Sungai Lalang, Bedong, 11 malam tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian sebelum itu dan polis turut merampas lastik serta batu yang ditemui dalam raga motosikalnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, malah dia turut mempunyai dua rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

“Ketika disiasat, suspek mendakwa yang dia mengalami halusinasi sehingga mendorongnya melakukan perbuatan terbabit (melastik) ketika kejadian.

“Bagaimanapun suspek kini ditahan dan kita akan memohon reman terhadapnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.

Terdahulu, rakaman video seorang lelaki berdurasi 29 saat tular di media sosial selepas dia dilihat melastik ke arah lori yang datang dari laluan bertentangan.

Sumber: Harian Metro