Individu berpelukan atas pentas AJL 36 kena kompaun

TUJUH individu termasuk penganjur majlis Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36) dikompaun RM7,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 ketika program itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof berkata, pihak polis mengesan tindakan sekumpulan individu berpelukan itu melalui gambar yang dimuat naik sebuah portal berita, lapor Kosmo.

Tangkap layar daripada Youtube TV3.

“Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut dan kesalahan dikesan kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal seperti yang terkandung dalam arahan PPN Fasa 4.

“Semua individu terbabit sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan tawaran kompaun RM1,000 sudah dikeluarkan kepada tujuh individu termasuk penganjur mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan),” ujarnya kepada Kosmo.

Beliau juga mengingatkan agar orang ramai terus patuh kepada SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang wabak Covid-19.

Sumber: Kosmo