Kotor, Lapan Kedai Makan Di Pasir Puteh Diarah Tutup

Foto: Astro Awani

PASIR PUTEH, 21 September- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan lapan premis makanan ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan.
 
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin menerusi satu kenyataan memaklumkan, semua premis berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, ia hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dilaksanakan di daerah Pasir Puteh, semalam.
  
“Operasi Bersepadu Premis Bersih memeriksa 52 buah premis makanan yang terletak di sekitar Pasir Puteh dengan penglibatan 77 petugas JKNK.Sebanyak 109 notis Seksyen 32B turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan kerana melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,”katanya.
 
Jelas Dr Zaini, notis kompaun yang paling banyak dikeluarkan adalah membabitkan Peraturan 32, sebanyak 91 notis kompaun iaitu gagal mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali makanan.

“Pihak kami sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini. Pada masa sama, JKNK sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan serta makanan yang disediakan di premis makanan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna.
 
“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan di premis mereka.
 
“Namun, jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,”menurutnya dalam kenyataan tersebut.
 
Tegas Dr Zaini, menjadi tanggungjawab pemunya premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan bersih pada setiap masa.