Rempuh Anggota JPJ, Bekas Pengawal Keselamatan Didenda RM5,000

Foto: Portal Berita RTM

PORT DICKSON, 21 September- Seorang penunggang motosikal yang tular kerana merempuh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.

Nor Khairul Azwa Azizi, 25 tahun dihadapkan atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.

Bekas pengawal keselamatan itu mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 serta memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29 tahun, dari menjalankan fungsi amnya.
 
Kesalahan itu dilakukan pada 17 September 2023, kira-kira pukul 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
 
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain telah diberhentikan kerja.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mampu memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.
 
Selain itu katanya, kecederaan yang dialami anggota JPJ terbabit juga perlu diambil kira.

Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku susulan tular video berdurasi lima saat yang memaparkan seorang anggota penguat kuasa JPJ terpelanting selepas dirempuh suspek yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

JPJ dalam kenyataannya berkata, kejadian itu mengakibatkan anggota berkenaa mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, namun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.